RASHID Sidek yang juga anggota skuad yang menjuarai Piala Thomas 1992 yakin skuad kali ini mampu melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan berpasukan badminton berprestij itu di Wuhan, China pada 20 hingga 27 Mei depan.
Rashid yang kini ketua jurulatih perseorangan lelaki berkata skuad kali ini biarpun tidak sekuat sebelumnya, tetap ada harapan untuk beraksi di perlawanan akhir pusingan kelayakan.
“Peluang tetap terbuka dan kita masih ada harapan. Pasukan lain juga bukan bagus sangat,” kata Rashid.
Beliau yakin pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mampu menghadiahkan satu mata tapi menurut beliau, beregu utama yang diturunkan nanti wajib menghadiahkan satu mata buat pasukan negara.
“Perseorangan pertama dan beregu pertama mesti menghadiahkan mata buat pasukan. Selepas itu kita harapkan satu lagi mata daripada mana-mana pemain.
“Saya amat pasti dengan Chong Wei namun prestasi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak menentu ketika ini, mereka tetap wajib menyumbang satu mata.
“Jika gandingan ini tewas ada kemungkinan kita akan kalah. Begitupun kita tetap harapkan pemain lain untuk menyumbang mata.” Tambah Rashid lagi, pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkeyakinan tinggi bahawa skuad kelayakan Piala Thomas yang akan beraksi di Macau 13-19 Februari ini mampu melayakkan diri ke pusingan akhir.
“Yang menjadi sasaran kita adalah layak ke pusingan akhir, tidak kira kita menamatkan saingan di kedudukan ke berapa sekalipun,” kata Rashid.
Begitupun beliau memberi amaran kepada semua pemain supaya memberi fokus kepada kejohanan itu kerana sebarang kesilapan kecil mampu membuatkan pasukan kecundang terutamanya di tangan pasukan tidak ternama.
“Ketika ini Jepun berada di kedudukan lebih baik kerana mereka pasukan pilihan tapi kita tidak boleh ambil mudah dengan cabaran Thailand, Taiwan dan India kerana saya yakin mereka ada potensi untuk melakar kejutan.” Beliau berkata, meskipun China sudah melayakkan diri ke pusingan akhir selaku juara bertahan, tindakan mereka menghantar pasukan tanpa kelibat Lin Dan dan Fu Haifeng-Cai Yun tetap berbahaya namun pasukan negara Tembok Besar itu tidak akan mencuri satu slot dari empat tempat di kelayakan Zon Asia.
Malah menurut beliau lagi, tindakan China tidak menurunkan Lin Dan pada saingan kali ini adalah semata-mata membolehkan Chen Long dan Chen Jin memungut semaksimum mungkin mata kelayakan Olimpik.
0 comments:
Post a Comment