Monday, 23 January 2012

‘Saya Sudah Biasa Hidup Sebagai Duda’ – Yantzen

Filled under:


KUALA LUMPUR – Penyanyi rock Yantzen atau nama sebenarnya, Yantzen Juniwan, 54, sudah biasa hidup bersendirian selepas hampir lapan tahun bercerai dengan pelakon wanita, Sharifah Noor Haslina (Lynn).


Menurut laporan yang dipetik dari mStar, Yantzen memberitahu pada usianya sebegitu mencari calon isteri baru bukanlah menjadi keutamaan buat dirinya meskipun terkadang dia berasa sunyi dan sendirian di rumah.


“Saya sudah terbiasa hidup menduda. Jadi saya tidak kisah pun apabila hidup bersendirian.
“Pada usia begini, soal jodoh bukan lagi menjadi keutamaan. Apa yang lebih penting adalah mencari rezeki bagi meneruskan hidup,” kata Yantzen.


Pun begitu, Yantzen tidak dapat melarikan diri apabila soalan tentang dirinya yang ‘solo’ kerap kali ditanya oleh orang ramai yang prihatin tentang dirinya.


Namun, dia tidak pernah meletakkan dirinya yang hidup sendiri sebagai halangan untuk dia bergerak bebas dan mempunyai kawan yang ramai membantu dia untuk meneruskan hidup.


“Saya ada ramai kawan. Selalunya, saya akan bersama dengan mereka.


“Kalau bersendirian di rumah, memanglah perasaan sunyi dan sepi itu datang tapi ia bukan masalah besar bagi saya,” katanya.


Menyingkap sejarah perkahwinanya yang dahulu, Yantzen dan Lynn telah berkahwin pada 9 Julai 1994 dan mengambil keputusan untuk bercerai pada 2004.


Hasil perkahwinan pasangan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Muhammad Aliff Ronan yang kini berusia 13 tahun.


Bercerita mengenai perkembangan terkini, Yantzen berkata dia masih aktif menyanyi dan memenuhi pelbagai undangan nyanyian di seluruh negara.


“Saya masih aktif menyanyi sehingga kini. Kalau hendak tahu, jadual jemputan nyanyian saya penuh sepanjang Disember tahun lalu.


“Pada bulan ini pun saya sudah dipanggil untuk mengadakan persembahan di beberapa acara dan majlis korporat,” katanya yang tidak merancang untuk mengeluarkan lagu atau album baru.

0 comments:

Post a Comment