Thursday, 15 March 2012

Sepah The Movie selit babak lasak

Filled under:

 

MESKIPUN dihimpit 1,001 spekulasi yang kononnya mereka bertiga bermasam muka dan membawa haluan masing-masing, situasi itu bukan halangan untuk mereka bersama di lokasi penggambaran.

Sebelum ini, laporan akhbar menyebut mereka berpecah kerana masalah disiplin hingga dua anggotanya menubuhkan kumpulan baru, Sepahtu dan meninggalkan seorang lagi bergerak secara solo.
Bagaimanapun, sepanjang dua hari penulis duduk menyaksikan sendiri penggambaran filem pertama mereka, Sepah The Movie di Johor Bahru, bulan lalu, mereka bertiga - Shahmira Muhamad atau Shuib, Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep) dan Mohd Noor Murad (Mamat) masih mesra seperti dulu.

Gelak tawa dan gurau senda mereka seperti seadanya seolah-olah perpecahan itu tidak berbekas.


“Memang ramai yang menganggap kami sudah bergaduh dan tidak lagi boleh bersama. Walaupun saya dan Shuib sudah bergerak berdua, kami tidak sampai menolak Mamat. Kami sudah lama bersahabat dan tidak mungkin hubungan itu akan terputus begitu saja.


“Mungkin secara berkumpulan kami tidak lagi bertiga, namun ikatan persahabatan tidak akan pernah terlerai. Kalau ada projek yang memerlukan kami bertiga, kami tiada masalah,” jelas Jep.

Mamat pula mencelah, apa yang menjadi keutamaan mereka bertiga adalah memenuhi perjanjian dengan pihak produksi untuk berlakon bertiga.

Katanya, filem itu menjadi kayu ukur terhadap sejauh mana bakat lakonan mereka di layar perak selepas berlakon dalam siri di kaca TV.

“Malah sebaik saja memegang skripnya, memang saya tak nafikan berasa gementar kerana ia bukan lagi komedi yang biasa kami buat. Sebaliknya kisah ini juga ada babak sedih. Jep terpaksa berdepan dengan satu babak yang memerlukan dia menangis.

“Tapi alhamdulillah semuanya berjaya dilakukan dan saya sendiri bangga melihat hasil kesungguhan kami seperti yang dimahukan produser dan pengarah. Kami juga berbincang dengan penulis skrip dan bertukar idea serta pandangan bagi menghasilkan sebuah filem yang bagus.

“Insya-Allah saya yakin dan percaya Sepah The Movie akan memberikan satu bentuk hiburan berbeza kepada peminat kami. Bukan saja untuk bergelak ketawa tetapi Sepah The Movie sarat dengan mesej dan drama yang menyentuh perasaan,” katanya.

Sepah The Movie adalah filem terbitan PTV Film Productions yang turut dibintangi Jehan Miskin, Yus Jambu, Asrul Raja Lawak, Anzalna Nasir dan finalis Dewi Remaja 2010/2011, Ramona Qadira.

Filem yang menelan belanja kira-kira 1.8 juta ini mengisahkan perihal tiga sahabat yang bekerja di sebuah syarikat elektronik. Persahabatan mereka yang akrab sejak kecil membuatkan ketiga-tiganya berkongsi pelbagai pengalaman.

Namun anak pemilik kilang tempat mereka bekerja, Basit (Jehan Miskin) suka membuli mereka. Kemelut antara Basit dan tiga pemuda ini semakin tegang dengan kehadiran Ayu Sofea lakonan Anzalna yang menjadi rebutan.

Plot sampingan pula menceritakan kegilaan tiga anak muda ini terhadap sukan lasak, ‘motor cross’ yang akhirnya menjadi medan penentu bagi siapa paling layak memiliki Ayu Sofea.

Jelas Shuib yang ditemani isterinya, Siti Sarah sepanjang penggambaran 20 hari di Johor, jalan cerita filem itu membuatkan mereka bertiga yakin ia mampu menghiburkan.

“Filem ini mencerminkan persahabatan kami yang tidak pernah terputus. Kami juga mahu menolak tanggapan bahawa kami hanya pandai berlawak saja.

“Bukan mahu terlalu yakin atau mengangkat diri, namun saya begitu bangga dengan persembahan kami dalam filem ini. Komitmen dan kesungguhan yang kami beri membuatkan pihak produksi serta pengarah sendiri terkejut. Itu sudah cukup menggambarkan keseronokan kami, lebih-lebih lagi filem ini dibuat di kampung kami di Johor.

“Apa yang boleh saya katakan, filem ini mencabar kami secara dalaman. Kalau sebelum ini kami sibuk memikirkan kreativiti bagi menggeletek penonton di pentas dan kaca TV, namun kali ini berbeza kerana kami perlu memikirkan apa yang boleh menarik penonton ke panggung.

“Mungkin Sepah The Movie akan menjadi satu titik permulaan buat kami bertiga untuk membuktikan yang Sepah tidak sekadar penghibur yang berlawak setiap masa, sebaliknya kami anak seni serba boleh,” katanya bersemangat.



INFO:

Produser: Hasni Maulod
Pengarah: Mp Roslin Md Sharif
Penolong Pengarah 1: Ikhzal Azfarel Ideris
Penolong Pengarah 2: Mohd Hafiz Abd Rajak
Pengurus Produksi: Faruz Sharif
Penolong Pengurus Produksi 1: Nor Hafzan Abu Hassan
Penolong Pengurus Produksi 2: Syazril Hafiz Suhaimi
Konti: Roslan Abdul Aziz
Pengarah Sinematografi: Pali Yasir
Penolong Pengarah Sinematografi: Wahiudin Daniel
Juru Kamera: Johan Haruna
Gaffer: Azami Alias
Pembantu Gaffer 1: Mohamad Jumadi Daeng Mengala
Pembantu Gaffer 2: Nor Razmir Suhaimi
Grip: Shuhaimi Kamal Anang
Pembantu Grip: Mohd Roslan Ripin
Pembantu Teknikal: Mohd Abudin Abdullah
Soundman: Wan Shazrin Izzuan Mohd Shah
Pembantu Sound man 1: Irwan Yuzri Mohd Sharir
Pembantu Sound man 2: Mohammad Hasmir Shah
Pengarah Seni: Ahmad Bazli Abdul Mawap
Propman 1: Azman Ariffin
Propman 2: Nik Faizal Nik Par
Juru mekap: Zaimaliza Zainal
Pembantu Juru mekap: Riesya Quzainie Abd Rahman
Penyelia Pakaian: Siti Mahanifa Mohd Diah
Pembantu Penyelia Pakaian: Ahmad Farhan Mohd
Handyman: Mohd Sofian Abdullah
Handyman: Mohd Ridzuan Mansor
Runner: Muhammad Fiirizqi Aziz
Penyunting: Mohamad Najip Rahim
Penyunting 2: Ahmad Farhan Osman

0 comments:

Post a Comment