SERGIO Perez tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan dia adalah bintang baru pada saingan Formula Satu (F1) apabila menduduki tempat kedua di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.
Meskipun baru memasuki musim kedua pada perlumbaan paling kompetitif itu, Perez nyata tidak kekok bersaing bersama pemandu lebih berpengalaman apabila hampir mendominasi perlumbaan tapi faktor pengalaman menjadi pemisah antaranya dengan Fernando Alonso yang muncul juara.
Pemandu dari Mexico itu mengakui, jika tidak kerana melakukan kesilapan terbabas pada enam pusingan terakhir, dia sebenarnya mahu mencuba memintas Alonso yang dilihat agak perlahan berbanding jentera Sauber yang dipandunya.
“Saya rasa memang mahu melakukannya (memintas Alonso). Saya yakin mampu mengejar Alonso tapi saya tidak bernasib baik apabila terbabas. “Apapun keputusan ini sudah cukup baik untuk saya serta pasukan. Jentera saya pada hari ini cukup bagus, terima kasih kepada rakan sepasukan yang melakukan tugas dengan cemerlang.
“Walaupun tidak menang pada perlumbaan ini, tempat kedua adalah perkembangan cukup positif untuk saya. Sudah tentu selepas ini saya akan cuba melakukan lebih baik dan terus memungut sebanyak mungkin mata untuk saya serta pasukan,” katanya.
Perez, pemandu berbakat yang dilahirkan oleh Akademi Ferrari berkata, perlumbaan semalam sebenarnya cukup sukar ditambah dengan keadaan litar basah akibat hujan lebat sehingga menyaksikan perlumbaan terpaksa dihentikan seketika.
“Ia benar-benar sukar tapi saya serta rakan sepasukan akhirnya berjaya mengharunginya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment