KUALA LUMPUR : Meskipun terlalu pahit untuk menerima hakikat sudah bergelar janda selepas hanya 17 hari berkahwin, namun ahli kumpulan Butterfly, Nur Syuhadda atau Adda Butterfly akui dirinya kini lebih kuat meniti hari mendatang.
Malah, Adda Butterfly berkata pengalaman bergelar janda kepada, Ridzuan Mohammad ketika inai masih dijari tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya terus bangkit serta memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyiannya.
“Tidak tahu bagaimana hendak ungkapkan perasaan sedih yang saya alami ketika ditinggalkan orang yang tersayang begitu sahaja.
“Namun, saya tidak terkilan dan terima segala jodoh dan ketentuan yang ditetapkan oleh Tuhan.
“Saya juga bersyukur kerana keluarga masih ada bersama menyokong dan memberi semangat yang kuat kepada diri saya untuk terus bangkit.
“Saya hanya mendoakan kebahagiaan bekas suami saya dan berjanji gelaran janda di usia muda tidak menjejaskan kehidupan saya di masa akan datang,” luahnya ketika dihubungi oleh murai.com.my
Adda Butterfly walaubagaimana pun tidak mahu mengulas lanjut mengenai kekeliruan status suaminya yang sebelum ini didakwa seorang duda.
Sungguh pun begitu Adda Butterfly yang bernikah dengan bekas suaminya yang juga ketika itu berstatus suami orang pada 30 Mac lalu hanya redha selepas diceraikan pada 17 April lalu.
Kembali aktif dalam bidang nyanyian, Adda bersyukur kerana single terbaru daripada Butterfly berjudul Lelaki Pilihan mendapat sambutan walaupun pelbagai cerita kurang enak dilemparkan kepada dirinya.
“Alhamdulilah, apa yang berlaku kepada diri saya ada hikmahnya. Kini Tuhan melimpahkan rezeki kepada kerjaya saya.
“Single Lelaki Pilihan mendapat sambutan di corong-corong radio walaupun baru sahaja dilepaskan tidak sampai sebulan.
“Saya kini mahu tumpukan kepada single Lelaki Pilihan dan ingin terus berjaya dalam kerjaya daripada memikir soal peribadi,” katanya.
Tidak mahu pisang berbuah dua kali, Adda berharap selepas ini dia akan berhati-hati dalam memilih pasangan sebelum membuat keputusan untuk melangkah ke fasa seterusnya. – Murai
0 comments:
Post a Comment