Sehingga kini masih tidak diketahui ke mana perginya pampasan yang dianggarkan sehingga RM207 bilion daripada kerajaan Jepun kepada rakyat Malaysia yang menjadi buruh paksa landasan maut Siam-Burma semasa Perang Dunia Kedua, dakwa bekas menteri besar Perak.
Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mendakwa, tiada bayaran dibuat kepada mangsa atau waris walaupun kedutaan negeri matahari terbit itu mengesahkan menyerahkannya sekitar tahun 90-an, laporHarakahdaily.
"Kita tidak tahu. Kalau wang itu masih ada dalam simpanan kerajaan kenapa tidak diberi balik kepada mangsa," beliau dipetik sebagai berkata.
"Mangsa ada 30,000 yang boleh balik semula ke Malaysia walaupun ada yang meninggal dunia tetapi mereka masih ada waris melalui Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma 1942-1946."
Nizar yang mengetuai Sekretariat Jejak mencari bekas buruh paksa dan waris landasan maut itu berkata, pihaknya juga tidak tahu sama ada pampasan itu masih disimpan di Perbendaharaan Negara atau Amanah Raya kerana tiada penjelasan dibuat oleh kerajaan.
Katanya, hasil pertemuannya, Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun ke Malaysia Takaharu Suegami mengesahkan penyerahan wang itu walaupun memaklumkan akan merujuk kepada Tokyo berhubung perkara itu.
Nizar yang juga anggota jawatankuasa Pusat PAS dilapor berkata, dengan jumlah RM207 bilion itu setiap keluarga dianggarkan layak menerima sehingga RM3 juta pampasan.
"Banyak! Pemberian pampasan ini kepada mangsa lebih baik dari ETP yang dibuat oleh kerajaan, sekurang-kurangnya dapat mengatasi sedikit masalah ekonomi orang Melayu," beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar web PAS itu.
Sejak didaftarkan secara rasmi pada 11 Januari 2011, persatuan terbabit dilapor sudah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan itu.
Nizar baru-baru ini mengutarakan isu berkaitan buruh binaan landasan maut antara 1942 hingga 1946 itu dalam sidang Dewan
HAMPIR 300,000 pekerja dilaporkan terlibat membina landasan kereta api maut di antara Thailand-Burma (kini Myanmar) sejauh 415 kilometer ketika Perang Dunia Kedua.
Daripada jumlah itu, kira-kira 60,000 pekerja merupakan tahanan perang British, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand dan Belanda.
Selebihnya, merupakan buruh paksa dari India, China dan Tanah Melayu.
Sepanjang tiga tahun pembinaan jambatan itu seramai 16,000 tawanan perang dilaporkan maut manakala lebih 100,000 buruh dari ketiga-tiga negara Asia itu dilaporkan meninggal dunia atau hilang.
Dianggarkan dari 1942 hingga 1946, seramai 72,000 rakyat negara ini dikerah tenaga mereka dan dilayan dengan penuh kekejaman untuk menjayakan impian besar negara matahari terbit meluaskan empayarnya.
Namun hanya 30,000 orang dilaporkan berjaya kembali ke tanah air membawa bersama keperitan dan kesengsaraan yang cukup sukar untuk diungkap serta menjadi kenangan pahit sepanjang hayat.
Walaupun usaha menjejaki mangsa-mangsa berkenaan menemui jalan buntu ekoran ramai daripada mereka sudah meninggal dunia, namun kisah kekejaman tentera Jepun ke atas mereka masih segar di kalangan waris-waris.
Ikuti laporan wartawan S2, SITI NURAZLINA JAMALUDIN dan ISWAN SHAFIQ MAT ISA bersama jurugambar, AZLAN BAHRUM, ABDUL NAZIR MOHAMED, ABDUL RAZAK LATIF dan SAZALI CHE DIN menjejaki mangsa dan waris kekejaman tentera Jepun demi membina landasan kereta api maut di antara Thailand-Burma.
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment